KEMAJUAN PROJEK ECRL PAHANG 78.82 PERATUS SETAKAT NOVEMBER

KUALA LUMPUR: Kemajuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 258 kilometer (km) di Pahang telah berada pada 78.82 peratus setakat November tahun ini.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), YBhg. Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, kemajuan ini melibatkan pembinaan tujuh buah stesen.

 

“Negeri Pahang khususnya telah mencatatkan status kemajuan yang signifikan dengan peratusan kemajuan kerja sebanyak 78.82 peratus setakat November 2024.

 

“Sepertimana yang diketahui umum, jajaran ECRL sepanjang kira-kira 258 kilometer di Negeri Pahang melibatkan pembinaan tujuh buah stesen, di mana stesen Cherating dan KotaSAS untuk tujuan penumpang sahaja.

 

“Manakala stesen Kuantan Port City, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong adalah stesen gabungan penumpang dan kargo,” katanya.

 

Menurut beliau, setakat tempoh sama, projek ECRL di negara ini telah mencapai 76.06 peratus dan berada pada landasan yang baik untuk siap pada Disember 2026 bagi jajaran Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dan seterusnya Gombak sehingga ke Jalan Kastam pada bulan Disember 2027.

 

“ECRL adalah projek yang berimpak tinggi yang akan menghubungkan taman-taman perindustrian, pelabuhan-pelabuhan, bandar-bandar utama dan zon pelancongan serta menambahbaik kesalinghubungan dengan rangkaian rel sedia ada di Semenanjung Malaysia. Menjelang tahun 2025, projek ECRL akan memasuki fasa persediaan untuk pengoperasian ECRL,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UCYP University dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) di Hotel Royal Chulan.

 

Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; dan Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd., Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

 

Source: Pahang Media