PPSAS Di KotaSAS Cetusan Idea Al-Sultan Abdullah

(Bernama pic)

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memaklumkan kewujudan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang akan menjadi pusat pentadbiran baharu Kerajaan Pahang di KotaSAS adalah cetusan baginda sendiri.
Baginda bertitah, keperluan pembinaan sebuah pusat pentadbiran baharu wajar memandangkan bangunan Wisma Sri Pahang, di sini, sudah lama iaitu hampir 50 tahun dan menghadapi masalah penyelenggaraan.

Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah, bangunan pentadbiran baharu perlu ditempatkan di KotaSAS kerana baginda memikirkan sudah tiba masanya bandar Kuantan diperbesar dan diperluaskan menjadi lokasi penduduk baharu, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuantan.
“Saya perlu nyatakan konsep pembinaan PPSAS agak berlainan kerana saya mahu konsep ultra moden dengan mengambil kira dan berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Saya berharap PPSAS menjadi satu bangunan ikonik untuk mereka lihat sendiri dan mengambil gambar,” titah baginda pada majlis perasmian PPSAS, di KotaSAS, di sini, hari ini.

Hadir sama, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan bekas Yang Dipertua Melaka yang juga bekas Menteri Besar Pahang, Tun Mohd Khalil Yaakob.

PPSAS dilaporkan bernilai RM415.52 juta adalah pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri bagi menggantikan Wisma Sri Pahang yang digunakan sejak 1976.

Pusat pentadbiran itu dibangunkan dengan reka bentuk diilhamkan daripada Jata negeri Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda mempersembahkan cadangan pembinaan PPSAS kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah pada 2015 dan berharap kewujudannya seperti bandar satelit, akan mengurangkan tekanan kepada kesesakan di bandar raya Kuantan.

“Pada 2016, pasukan KotaSAS mengemukakan cadangan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob ketika itu.

“Bagi tempoh 2016 hingga 2018, permohonan diproses dan mendapat kelulusan. Pembinaannya bermula pada 2018 tetapi malangnya pada 2020 hingga 2021 wabak COVID-19 melanda dan kerja pembinaan dihentikan.

“Alhamdulillah hari ini (semalam) kita dimaklumkan sebahagian projek ini 90 peratus sudah siap,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, perancangan jangka panjang KotaSAS antaranya membabitkan pembinaan sebuah masjid bertaraf tinggi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan sebuah kompleks institusi ilmu yang merangkumi pelbagai cabang dalam ilmu Islam selain mempunyai stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Baginda bertitah, masjid dibina dengan usahanya itu turut ditaja Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

“Ini usaha saya bersama baginda, kerana silaturahim kami begitu lama, sejak 40 tahun lalu dan baginda menyatakan hasrat menyumbang sebuah masjid di KotaSAS,” titah baginda.

Source: Berita Harian